Sunday, March 4, 2012

10 PETANDA DIA JODOH KITA

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

KEHIDUPAN DAN KESIHATAN

SAINTIS percaya, kehadiran radikal bebas boleh mengancam kesihatan dan menjadi penyebab utama kepada pelbagai masalah kronik.

Malah, kehadiran radikal bebas juga sering menjadi kebimbangan kerana ia dikatakan boleh mempercepatkan proses penuaan dan meningkatkan risiko penyakit seperti jantung, strok, kencing manis, artritis dan kanser.

Saintis juga menganggarkan lebih 10,000 radikal bebas menyerang sel badan kita setiap hari. Radikal bebas ialah atom atau molekul yang sangat aktif dan tidak stabil kerana mempunyai satu elektron tidak berpasangan dalam strukturnya.

Untuk menjadi stabil, atom atau molekul ini perlu mendapatkan satu elektron. Caranya ialah dengan mencuri satu elektron daripada molekul lain dan molekul ini pula akan menjadi radikal bebas kerana ia tidak lagi stabil.

Bagi mengembalikan kestabilannya, molekul kedua ini akan mencuri elektron daripada molekul lain dan proses ini akhirnya akan membentuk rantaian radikal bebas.

Rantaian reaksi spontan ini akan menyebabkan kerosakan fungsi sel dan boleh membawa kepada kematian awal sel berkenaan.

Dari mana datangnya radikal bebas ini? Radikal bebas dikenal pasti berpunca daripada beberapa sumber, iaitu:

· Makanan tidak sihat — Makanan berlemak, bergoreng dan hangus (seperti kepingan hitam pada sate atau ikan bakar).

· Minuman beralkohol.

· Rokok — Sebatang rokok dikatakan membebaskan 3 trilion radikal bebas ke dalam sistem peredaran darah.

· Tekanan — Semua bahan kimia dan sesetengah hormon endokrin menghasilkan radikal bebas.

· Bahan kimia toksik (seperti racun serangga).

· Sinaran ultra ungu.

· Pencemaran alam sekitar.

Penghasilan
radikal bebas berlaku sepanjang masa dan ia sukar dikawal.

Bagi mengimbangi kemusnahan sel akibat serangan
radikal bebas ini, ramai penyelidik, terutama dalam bidang kesihatan dan kecantikan, berlumba-lumba mencipta barangan mengandungi antioksidan.

Antioksidan adalah bahan yang dikenal pasti dapat menghapus atau melemahkan
radikal bebas dengan mendermakan satu elektron atau mendermakan satu elektron kepada radikal bebas.

Inilah caranya antioksidan bertindak menstabilkan
radikal bebas, sekali gus melindungi kerosakan sel badan.

Antioksidan boleh ditemui dalam beratus bahan semula jadi, terutama sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pigmen yang memberi warna kepada sayur dan buah yang secara umumnya dipanggil fitokimia inilah sumber antioksidan terbaik.

Inilah sebabnya kita disaran mengambil lima hingga sembilan hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari.

Bagaimanapun, dalam keadaan hidup kita hari ini, saranan pakar pemakanan itu sukar diamalkan.

Apatah dengan kaedah penyediaan makanan yang kurang baik, bahan antioksidan boleh hilang begitu saja.

*dipetik dari Harian Metro,

oleh Norlaila Hamima Jamaluddin